Bismillahirrahmannirrahim..
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera buat para pembaca sekalian. Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih diberi kesempatan buat diri ini mencoretkan ilham dan ilmu pengetahuan melalui penulisan di blog ini.
Dalam post saya kali ini, saya ingin menceritakan lebih lanjut berkenaan sebuah karya yang sudah lama saya fikirkan untuk dijadikan lembaran buku, tetapi disebabkan saya tidak tahu hujung pangkal mahu memulakannya, maka penulisan saya itu terhentilah di tengah jalan. Syukur kepada Allah hadirnya Ustazah Nadhilah banyak membantu dalam menunjuki lorong yang sepatutnya dilalui untuk menjadi seorang penulis dengan berbekalkan pengalaman yang beliau perolehi dari penulis-penulis besar dan terkenal. Untuk pengetahuan semua, Ustazah Nadhilah adalah seorang tenaga pengajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSza). Beliau pernah mengajar saya sewaktu saya berada dalam pengajian Diploma. Terima Kasih Ustazah 😍
Bercerita mengenai penulisan saya, mesti ramai yang tertanya mengapa tajuknya Aplikasi Dakwah Fardiyyah? Tujuan utama saya memilih tajuk ini kerana saya ingin mendedahkan kepada pembaca tentang apa itu dakwah dan metod-metodnya. Umum mengetahui masyarakat kita semakin hari semakin parah, bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan jiran tertangga, sahabat handai dan siapa saja terdedah dengan pelbagai masalah yang dapat merosakkan akidah dan akhlak mereka. Jadi kepada siapakah harapan mereka yang sudah melampaui batas dan melanggar perintah Allah jika bukan pada pedakwah. Oleh itu melalui penulisan ini dapatlah saya mendedahkan beberapa aplikasi dakwah secara perseorangan dalam berdepan dengan mad'u dari pelbagai lapisan masyarakat dan berbeza latarbelakang.
Buku Aplikasi Dakwah Fardiyyah ini sememangnya sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Siapa yang mencintai kebenaran dan membenci kemungkaran ialah seorang pendakwah meskipun tidak pernah menyampaikan ceramah atau khutbah. Buku ini perlu ada di dalam setiap rumah atau institut pengajian untuk dijadikan sebagai bahan bacaan dan rujukan kerana di rumah, ibu bapalah pendakwah kepada anak-anak manakala di institut pengajian pula, guru atau pengajar juga seorang pendakwah kepada pelajarnya.
Dalam buku ini, saya akan menjelaskan secara lebih terperinci apakah virus dan serangan yang sebenarnya telah menyerang manusia pada abad ini sehingga boleh menyebabkan akidah seseorang itu parah dan akhlaknya semakin tenat. Di samping permasalahan, saya juga akan menyajikan kepada pembaca metod dakwah fardiyyah yang dapat diaplikasikan bersesuaian dengan masalah-masalah tersebut. Melalui buku ini, para pembaca juga dapat menelurusi beberapa contoh ketelusan Nabi Muhammad s.a.w dalam mengaplikasikan dakwah fardiyyah kepada umatnya secara hikmah dan bijaksana.
Akhir kalam, ingin diingatkan kepada diri sendiri dan para pembaca sekalian, bahawa apa yang dilakukan oleh kita mestilah bernawaitukan Allah s.w.t kerana setiap perbuatan,percakapan dan langkah kita akan dihitung di akhirat kelak. Saya menulis semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan dengan keizinanNya juga dapat saya berkongsi ilmu dan pengalaman ini.
Sekian, Wallahu'alam.